Ahlan Wasahlan... Welcome... Selamat datang...

Selamat mengunjungi blog saya yang serba dhaif ini... blog ini hanyalah sekadar tempat saya membuat review tentang sesuatu isu, produk dan tempat saya mencurahkan apa saja pandangan, idea dan karya yang tidak seberapa....Terdapat juga entri-entri yang saya perolehi daripada kursus-kursus, pembacaan serta perkongsian dengan teman-teman bloggers dan saya panjangkan lagi perkongsian di sini. Terlalu banyak kekurangan dan insyaAllah akan saya perbaiki dari semasa ke semasa. Diharapkan agar ada sahabat-sahabat yang sudi berkongsi idea dan apa saja isu dan komen di sini. Segala sumbangan, nasihat dan apa saja komen dan input yang membina saya dahului dengan jutaan terima kasih. Syukran Jazilan.




Terima kasih kerana sudi singgah ke blog saya. Sila tekan butang "like" sekiranya anda suka dengan blog ini. Terima kasih sekali lagi

Tuesday, August 28, 2012

Salam Lebaran…


Salam Lebaran

Alhamdulillah.. setelah sekian lama menyepi akhirnya saya berkesempatan mencoretkan sedikit catatan di blog ini. Kesibukan kerja dan beberapa  faktor sampingan lain telah membataskan saya untuk berkongsi catatan. Masih belum terlewat rasanya untuk saya mengucapkan Salam ‘Idul Fitri’ kepada semua muslimin dan muslimat para pembaca yang sudi berkunjung ke blog saya yang tak seberapa ini. Saya pohon ampun dan maaf sekiranya ada bahasa atau pun ayat dalam coretan saya yang tersalah atau tersilap tanpa saya sengajakan.
Berbalik kepada isu lebaran yang telah pun kita raikan hampir 2 minggu yang lepas, saya ingin berkongsi rasa gembira saya di sini setelah berkesempatan meraikan lebaran tahun ini bersama kedua ibu dan keluarga tercinta di kampung halaman saya di pantai timur. Tahun ini kepulangan ke kampung lebih teruja saya rasakan berbanding tahun-tahun yang lepas. Alhamdulillah, saya panjatkan rasa syukur  ke hadrat Allah SWT atas rahmatNya menunaikan beberapa hajat  yang telah lama saya hasratkan untuk dilunaskan.

Berpeluang menatap wajah bonda-bonda tercinta dan mencium tangan dan pipi keduanya memohon keampunan dan kemaafan di pagi lebaran  adalah satu anugerah teristimewa... Bersyukur kepada Yang Maha Esa kerana keduanya masih diberikan kesihatan yang baik. Semoga nikmat kesihatan itu sentiasa dikurniakan untuk mereka berdua dan saya pohonkan agar mereka dipanjangkan umur dan berpeluang menimang dan melihat cucu-cucu mereka membesar, insyaAllah. 

Berkesempatan menziarahi pusara kedua-dua ayahanda di pagi lebaran antara perkara paling bermakna dalam hidup ini. Berada jauh di perantauan hanya doa yang mampu dikirimkan. Kesempatan pulang berhari raya adalah peluang terbaik untuk menziarahi pusara kedua-duanya. Kalau semasa hidup, mereka berdualah insan yang paling mengagumi kerjaya seorang pendidik. Masih terngiang-ngiang kata-kata salah seorang daripada mereka, “ilmu bermanfaat yang diajarkan oleh seorang guru selagi mana diamalkan oleh muridnya, dan diajarkan pula pada orang lain, pahalanya akan berterusan  walaupun guru itu sudah tiada lagi di muka bumi Allah ini…” . 

Alhamdulillah.. saya kini bergelar pendidik. Walaupun mereka berdua tidak sempat melihat saya menjadi seorang pendidik, kata-kata itu akan saya pegang sebagai azimat untuk saya menjadi seorang  pendidik yang benar-benar mendidik. Jikalah arwah ayahanda berdua tahu betapa besarnya jiwa pendidik di hati ini...betapa bangganya saya kerana mampu menunaikan hasrat kedua ayahanda…alhamdulillah…semoga roh ayahanda berdua dicucuri rahmat olehNYA, Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Amiin.

To be continued….

No comments:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen anda. Diharapkan sebarang komen yang ditinggalkan tidak menyentuh sensitiviti agama, perkauman dan isu keselamatan negara. Pihak saya tidak akan bertanggungjawab ke atas setiap komen yang tidak bermoral, melanggar etika dan undang-undang. Adalah juga diingatkan sebarang komen yang ditinggalkan di bawah tanggungjawab anda sendiri.