Ahlan Wasahlan... Welcome... Selamat datang...

Selamat mengunjungi blog saya yang serba dhaif ini... blog ini hanyalah sekadar tempat saya membuat review tentang sesuatu isu, produk dan tempat saya mencurahkan apa saja pandangan, idea dan karya yang tidak seberapa....Terdapat juga entri-entri yang saya perolehi daripada kursus-kursus, pembacaan serta perkongsian dengan teman-teman bloggers dan saya panjangkan lagi perkongsian di sini. Terlalu banyak kekurangan dan insyaAllah akan saya perbaiki dari semasa ke semasa. Diharapkan agar ada sahabat-sahabat yang sudi berkongsi idea dan apa saja isu dan komen di sini. Segala sumbangan, nasihat dan apa saja komen dan input yang membina saya dahului dengan jutaan terima kasih. Syukran Jazilan.




Terima kasih kerana sudi singgah ke blog saya. Sila tekan butang "like" sekiranya anda suka dengan blog ini. Terima kasih sekali lagi

Wednesday, April 04, 2012

Sahabat Sejati

Wahai Tuhanku.. Betapa telah Engkau aturkan perkenalan sehingga membenihkan persahabatan. Engkau pupuk ia tumbuh subur dihati kami agar bercambah keimanan. Namun andai hadirku menjadi ulat yang merosakkan antara dia denganMu, maka tidak ada tangguh untukku berundur diri dari dalam hidupnya.. keranaMu Tuhanku, saat aku memohon teman yang boleh menggemburkan keimanan dan Engkau telah hadirkan dia menjadi pohon singgahan agar rimbunnya menjadi teduhanku dari bahang kemarau kehidupan..


Bagi kita sahabat adalah keperluan jiwa. Dialah ladang hati yang kita taburi dengan benih kasih dan kita tuai dengan penuh rasa terima kasih. Pada kita dia anugerah istimewa dariNya.. Saat kita memohon padaNya memilih teman perjalanan yang terbaik dalam kembara perjuangan di jalanNya..


Saat kita bersahabat kerana agamaNya...Bagaimana andai hadir kita memberi masalah padanya? kewujudan kita tanpa sedar mengganggu hatinya bertemu Pencipta. Kita terpaku seketika, daripada doa-doa yang kita pohon agar persahabatan dinaungi rahmatNya tiba-tiba bertukar menjadi cela, mungkinkah dalam persahabatan itu terpalit dosa? apakah nasihat atau kata-kata kita melaghokan jiwanya? 

Namun tiba saat mengharuskan kita sedar, saat pertemuan diqasadkan untuk memburu redhaNya, maka perpisahan keranaNya pasti membuah makna. Tika kita pasrah dengan ketentuan takdirNya...yakinlah Dia tidak pernah menganiaya hamba-hambaNya...

Kalau kehadiran mengundang kelalaian, moga pemergian menghembuskan ketenangan. Bila membenih subur   kerana ukhuwwah, biar jatuh gugur dalam mahabbah kerana daun yang jatuh takkan sekali-kali membenci angin...maka amankanlah hati kita dengan janjiNya...syurga abadi insyaAllah milik kita. 



3 comments:

  1. -ujian Allah. Ia begitu perit, pahit dan menyakitkan. Kita inginkan kejayaan, Allah berikan kegagalan. Kita inginkan pertemuan, Allah takdirkan perpisahan. Manis yang kita impikan, pahit yang menjadi kenyataan. Mengapa? Jawabnya, itu adalah yang terbaik untuk kita. Ujian Allah umpama ‘rotan ibu’ kepada anaknya yang degil. Ibu merotan kesah kasih sayang, Allah lebih-lebih lagi…kerana kasih sayang Allah jauh lebih tinggi, lebih murni daripada kasih seorang ibu terhadap anaknya.

    Sayangnya, kita hamba yang ‘buta’. Kita tidak nampak di sebalik segala keperitan dan kesakitan ujian Allah itu adalah kasih sayang jua. Dahulu kita adalah anak kecil yang tidak memahami di sebalik larangan dan kemarahan ibu. Kini kita adalah hamba yang jahil kerana gagal memahami dan merasai kasih-sayang Allah di sebalik segala ujianNya. Dahulu kita menangis, apabila dipukul ibu. Kini kita ‘memberontak’ dan bertanya, mengapa Tuhan takdirkan kesusahan dan kepedihan ini ke atas diriku?

    Mengapa kita belum dewasa menghadapi ujian Allah? Kenapa kita belum mampu tersenyum seperti seorang anak yang telah dewasa sewaktu mengenang kembali memori silam sewaktu dia dipukul ibunya? Kita seharusnya mampu ‘tersenyum’ ketika dipukul oleh takdirNya. Atau sekurang-kurangnya tunduk akur, menyerah dan pasrah pada ketentuan-Nya. Katakan pada hati, “Ya Allah, aku layak diuji. Aku hanya hambaMu. Di sebalik ujian ini aku yakin ada kebaikannya. Cuma kerana kelemahan dan kejahilanku… aku belum nampak wahai Tuhan. Namun aku tetap yakin di sebalik semua ini tetap ada kasih sayangMu.”

    Marilah kita teladani Nabi Muhammad saw apabila ditimpa ujian, baginda sering berkata, “aku hamba Allah, Allah tidak akan mengecewakanku.” Ini kerana baginda yakin bahawa pada setiap ujian Allah terselit hikmah yang pasti memberi kebaikan, lambat atau cepat, tersurat atau tersirat. Justeru, orang yang ‘arifbilllah’ (mengenal Allah) seperti Ibnu Ataillah pernah berkata, “Barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pen­deknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.” Maksudnya, seberat mana pun ujian yang Allah timpakan, pasti ada kasih sayang yang mendasari dan mengiringi ujian tersebut. Namun, akal yang matang berfikir dan hati yang tenang berzikir sahaja dapat merasai hikmah di sebalik setiap mehnah.

    Telitilah firman Allah ini, Al-Baqarah Ayat 216 : “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” Ilmu kita yang terbatas, tidak akan dapat menjangkau ilmu Allah yang Maha luas. Kita hanya nampak yang dekat, Allah nampak yang dekat dan yang jauh. Kita hanya nampak guruh dan hujan, rupanya Allah hendak menghadiahkan pelangi!

    ReplyDelete
  2. ANDAI DIA PERGI DULU SEBELUM MU…

    Andai dia pergi dulu sebelum mu, sepuhlah air mata dan teguhkanlah jiwa. Kita yang masih hidup perlu menyambung perjuangannya. Tidak mengapa bersedihlah seketika. Itu fitrah jiwa. Namun sederhanalah kerana esok kau mesti bangkit semula. Katakan pada diri, ya… kau telah pergi, pergi bersama doa ku. Kau tunggu di sana, pasti aku akan menyusul nanti!

    Andai dia pergi dulu sebelum mu, tanyakan pada hati mu yang sebati dengan hatinya, apa yang dia inginkan jika dia masih di sisi? Jangan sampai nestapa ini menjadi halangan. Apakah kau tega mengecewakan?

    Andai dia pergi dulu sebelum mu, katakan pada diri, akan ku galas amanah ini. Sekiranya terpaksa bertongkat dagu pun, aku tidak akan lemas dipagut sendu. Berjuanglah, agar dia bisa senyum di Barzakh itu. Oleh nukilan doa anak yang soleh dan solehah. Kalau benar cinta itu setia, Di jambangan munajat, di taman ibadat, tentu ada sungai pahala… yang mengalir selamanya..

    Andai dia pergi dulu sebelum mu, walau pun dia tidak akan kembali lagi, tetapi itu akhir pertemuan. Dulu kita bertemu untuk berpisah. Kini kita berpisah untuk bertemu. Inilah jalan takwa yang telah dilalui oleh Siti Aishah, Siti Habshah, Ummu Salamah, Mariah Qibtiyah bila ditinggalkan Rasulullah. Syukur kau terpilih untuk melalui jalan mujahadah. Mujur kau ditakdirkan merasai mehnah Ilahi...

    Andai dia pergi dulu sebelum mu, sibuklah diri mu. Beribadahlah sehingga kau letih untuk merasa sedih. Gembirakanlah hati mu dengan menggembirakan orang lain. Carilah peluang kebajikan dan kebaikan yang bertaburan. Bila sesekali kesedihan datang tanpa diundang, berwuduk dan bacalah Al Quran. Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu satu kerehatan. Begitulah setiap kali Rasulullah SAW bila terasa gundah… diadukan kesedihan kepada Allah.

    Andai dia pergi dulu sebelum mu, bisikan ke dalam hati mu yang paling dalam. Dia bukan milik ku. Dan aku pun bukan miliknya. Pemilik segala ialah Al Malik. DIAlah yang memiliki dan menguasai segala-galanya. Pada kita hanya amanah, sampai masanya terpaksa diserah. Jangan ada rasa dimiliki, dan jangan ada rasa memiliki. Bila terasa sepi, jangan katakan aku sepi… tapi katakan pada ku sentiasa ada pemerhati.

    Apa lagi yang boleh menggugat kebahagiaan seseorang manusia yang lebih hebat daripada kematian? Kemiskinan, kesakitan, celaan, kekalahan dan lain-lain ujian hidup adalah kecil berbanding kematian. Kematian adalah “pemutus” segala kebahagiaan. Sama ada, kita ditinggalkan oleh orang yang kita sayangi. Atau kita sendiri meninggalkan mereka. Saat itu, adalah saat yang paling derita.

    ReplyDelete

Terima kasih di atas komen anda. Diharapkan sebarang komen yang ditinggalkan tidak menyentuh sensitiviti agama, perkauman dan isu keselamatan negara. Pihak saya tidak akan bertanggungjawab ke atas setiap komen yang tidak bermoral, melanggar etika dan undang-undang. Adalah juga diingatkan sebarang komen yang ditinggalkan di bawah tanggungjawab anda sendiri.