Ahlan Wasahlan... Welcome... Selamat datang...

Selamat mengunjungi blog saya yang serba dhaif ini... blog ini hanyalah sekadar tempat saya membuat review tentang sesuatu isu, produk dan tempat saya mencurahkan apa saja pandangan, idea dan karya yang tidak seberapa....Terdapat juga entri-entri yang saya perolehi daripada kursus-kursus, pembacaan serta perkongsian dengan teman-teman bloggers dan saya panjangkan lagi perkongsian di sini. Terlalu banyak kekurangan dan insyaAllah akan saya perbaiki dari semasa ke semasa. Diharapkan agar ada sahabat-sahabat yang sudi berkongsi idea dan apa saja isu dan komen di sini. Segala sumbangan, nasihat dan apa saja komen dan input yang membina saya dahului dengan jutaan terima kasih. Syukran Jazilan.




Terima kasih kerana sudi singgah ke blog saya. Sila tekan butang "like" sekiranya anda suka dengan blog ini. Terima kasih sekali lagi

Tuesday, November 09, 2010

Cabaran Guru Masa kini

Guru adalah 'role model'. Ungkapan yang sering menyapa telinga kita apabila menyentuh bab guru. Ini kerana guru selalunya akan menjadi contoh ikutan murid-muridnya. Bagi menjadi insan yang boleh diteladani bukan senang. Pengalaman menjadi seorang guru telah membuka ruang dalam diri  untuk muhasabah dan memperbetulkan mana yang pincang untuk saya melangkah dengan lebih yakin dalam memikul amanah berat yang dianugerahkan Allah s.w.t ke atas insan dhaif seperti saya.

      Menjadi seorang guru ini saya kira tidak semudah yang disangkakan sebilangan kelompok tertentu. Ada pihak yang berpendapat menjadi guru adalah tanggungjawab yang mudah. Mungkin ada benarnya dari sudut pandangan mereka. Tetapi bagi saya hanya manusia yang mempunyai pemikiran dangkal sahaja yang berfikiran begitu. Tanggungjawab seorang guru bukan setakat pergi sekolah, masuk kelas, chalk and talk, bagi kerja rumah kemudian balik. Cukup 25 haribulan terima gaji.

     Sebenarnya tugas dan peranan seorang guru lebih besar daripada itu. Disamping menyebarkan ilmu pengetahuan peranan seorang guru lebih menjurus kepada mendidik, membimbing,  membina sahsiah dan membentuk nilai-nilai murni dalam diri para pelajarnya. Aspek-aspek sebegini yang memberikan cabaran yang besar kepada insan guru alaf 21 termasuklah diri saya sendiri.

     Melalui pengalaman selama enam tahun bergelar guru di sekolah rendah, macam-macam karenah dan ragam murid telah saya perhatikan. Dari tahun ke tahun, masalah disiplin semakin meningkat. Kadang-kadang kita sendiri tidak terfikir masalah disiplin serius boleh berlaku di sekolah rendah. Bila isu dibangkitkan, ada sahaja suara-suara sumbang kendengaran yang cenderung membela murid dan menyalahkan guru. Ada pihak secara lantang mengatakan semakin ramai guru agama dihantar ke sekolah semakin meningkat pula masalah disiplin. Apakah guru-guru agama ini tidak menjalankan tanggungjawab mereka dengan sebaiknya???  Ini senario biasa dan kerapkali kita dengar. Bila wujudnya permasalahan di sekolah, guru sering dipersalahkan. Persoalannya adakah semua masalah disiplin yang berlaku di sekolah berpuncanya daripada ajaran dan didikan guru yang pincang??? bagaimana pula dengan peranan ibu bapa yang kurang memantau pergaulan anak-anak mereka di rumah???

    Bukan niat saya untuk mencari salah siapa sehinggakan masalah disiplin murid-murid masa kini semakin meningkat. Sekiranya ibu bapa dan guru-guru mampu saling memahami tidak akan timbul isu siapa salah. Masing-masing perlu menyedari peranan dan tanggungjawab mereka. Menyedari hakikat itu, ibubapa dan guru perlu saling berhubung dan berinteraksi. Komunikasi dua hala di antara ibubapa dan guru amat penting bagi membendung permasalahan disiplin ini. Apabila berada di sekolah, murid-murid adalah di bawah tanggungjawab guru-guru. Menjadi tanggungjawab guru untuk mendidik dan membimbing mereka dengan nilai-nilai yang terpuji. Semasa di rumah, mereka adalah di bawah tanggungjawab ibubapa mereka. Menjadi kewajipan ibubapa untuk memantau perkembangan anak-anak mereka daripada pelbagai aspek, termasuklah aspek akademik, pergaulan dan sahsiah mereka. Ibubapa juga perlu menyokong apa sahaja aktiviti, peraturan dan program yang diaturkan oleh pihak sekolah kepada anak-anak mereka.

     Hakikatnya, terdapat sebilangan ibubapa yang kurang memberi kerjasama kepada pihak sekolah dalam aspek-aspek tertentu. Contohnya, pihak sekolah telah menetapkan murid balik lewat pada hari-hari tertentu disebabkan ada aktiviti-aktiviti atau program-program tertentu yang telah dirancang ke atas mereka. Namun begitu, ada segelintir ibubapa yang dengan sengaja mencipta alasan bagi pihak anak mereka untuk tidak mengikuti aktiviti tersebut kerana beranggapan bahawa aktiviti tersebut tidak penting. Tambahan lagi kalau bukan melibatkan subjek teras yang melibatkan ujian atau peperiksaan.

     Melalui pengalaman saya sendiri, saya pernah berhadapan dengan ibubapa yang datang berjumpa saya meminta izin bagi pihak anak mereka tidak menghadiri kelas tasmik dengan alasan ada tuisyen matematik di luar. Apa lagi yang mampu saya cakapkan kalau ibubapa sendiri kurang sensitif dengan perkara sebegini. Bukan saya mengatakan tuisyen matematik tidak penting, sedangkan kelas tasmik juga tidak kurang pentingnya tambahan pula ianya adalah sebahagian daripada ketetapan sekolah. Tuisyen matematik di luar itu adalah optional manakala kelas tasmik pula adalah compulsory. Sepatutnya ibubapa lebih sensitif apabila menyentuh isu sebegini. Ini secara tidak langsung akan memberikan tafsiran yang salah kepada anak-anak di mana mereka merasakan bahawa penekanan mereka di sekolah adalah lebih menjurus kepada sesuatu yang bersifat akademik semata sehingga mengabaikan aspek nilai agama dan pembentukan sahsiah.

      Sudah sampai masanya ibubapa menyedari bahawa tanggungjawab mendidik anak-anak bukan hanya terletak dibahu guru semata. Sebaliknya ibubapa perlu berganding bahu dan menjalinkan kerjasama yang erat dengan para guru bagi memastikan bencana sosial yang makin meruncing dan masalah disiplin yang melanda murid-murid hari ini dapat dibendung. Para guru juga perlu bersikap lebih terbuka dengan sentiasa menanamkan sikap proaktif di mana hubungan dua hala antara guru dan ibubapa perlu sentiasa dititikberatkan agar segala permasalahan yang timbul dapat diatasi bersama dan bukan saling lepas tangan. Wallahualam.

2 comments:

  1. betul tu, ibubapa tidak seharusnya menyalahkan guru bila timbul isu berkaitan disiplin anak2 mereka. Ibubapa jg perlu memantau pergerakan anak2 mrk di rumah terutamanya dgn siapa mrk berkawan dan apa aktiviti2 yg mrk lakukan....

    ReplyDelete
  2. Lihat Allah s.w.t ingin kita sentiasa bermotivasi untuk mencapai kebaikan syurga. Berlumba-lumba. Manusia sering berlumba bagi perolehi nikmat sementara dunia, harta, nama dan pangkat.

    Ingatlah sekaya-kaya Lim Goh Tong yang memiliki billion ringgit wang juga tidak dapat menangguhkannya dari kematian. Tidak juga boleh merasuah Allah s.w.t untuk memberikan kontrak hidup untuk 3 tahun lagi.

    Jadilah dan kejarlah redha dan pahala untuk kehidupan selepas kematian. Rancanglah dan fikirlah.

    Jangan jadikan pujian manusia sebagai motivasi unggul kerana ia akan mencelamu dikemudian hari.

    Jangan jadikan duit sebagai motivasi unggul kerana ia akan hilang dan habis.

    Jangan jadikan pangkat sebagai motivasi unggul, kerana ia juga akan tamat dan dihasadi.

    Jangan jadikan keluarga sebagai motivasi unggul, kerana ia akan mati jua.

    JADIKAN ALLAH, RASULNYA DAN SYURGA YANG DIJANJIKANNYA SEBAGAI MOTIVASI, NESCAYA ALLAH TIDAK AKAN MATI DAN JANJINYA TIDAK AKAN MENGECEWAKAN.

    Membiarkan orang lain sahaja yang bermotivasi dalam memperolehi pahala bukanlah sifat orang beriman. Jangan biarkan kata-kata negatif orang terhadap sesuatu yang baik untuk akhirat anda, membantutkan semangat. Jadikan ia pendorong dan motivasi.

    -ehsan dari zaharuddin.net-

    ReplyDelete

Terima kasih di atas komen anda. Diharapkan sebarang komen yang ditinggalkan tidak menyentuh sensitiviti agama, perkauman dan isu keselamatan negara. Pihak saya tidak akan bertanggungjawab ke atas setiap komen yang tidak bermoral, melanggar etika dan undang-undang. Adalah juga diingatkan sebarang komen yang ditinggalkan di bawah tanggungjawab anda sendiri.