Dua tiga hari ni isu yang hangat diperkatakan oleh para guru di Sabah Sarawak ialah mengenai perpindahan. Sana sini bertanyakan si polan itu atau si polan ini dapat pindah atau belum. Bagi yang mengisi borang perpindahan masing-masing menunggu tarikh 15hb Oktober umpama pungguk merindukan bulan purnama. Tup-tup bila keputusan keluar ramai yang menangis tidak berlagu. Apa taknya bila disemak keputusan yang keluar adalah "Dukacita dimaklumkan permohonan anda tidak berjaya".
Sebaik sahaja semakan keputusan keluar, pelbagai reaksi dapat dilihat. Ada yang termenung panjang, ada pula yang menunjukkan rasa tak puas hati, ada yang senyum sampai telinga dan tak kurang juga yang redha dan pasrah. Kepada yang berjaya tahniah dan syabas diucapkan. Semoga dapat menjalankan tugas dengan lebih cemerlang lagi di tempat baru. Bagi yang belum berjaya insyaAllah mungkin belum lagi rezeki kita. Tahun depan jangan jemu-jemu cuba lagi pohon.
Secara jujurnya saya turut bersimpati dengan sahabat-sahabat yang suami @ isteri @ anak-anak yang terpaksa tinggal berjauhan dek tanggunjawab yang tergalas di bahu. Kalau setahun dua berjauhan mungkin boleh lagi bertahan. Tapi kalau sampai anak membesar tanpa kasih sayang bapa, ibu pula terpaksa membesarkan anak tanpa suami disisi, isteri yang mengandung terpaksa berdikari tanpa perhatian suami disebabkan faktor jarak, ibu tua terpaksa tinggal berjauhan daripada anak bertahun-tahun lamanya, ini saya kira sudah tidak relevan. Alasan perkhidmatan masih diperlukan di tempat tersebut. Bukan ingin menafikan hal demikian, tetapi apalah salahnya sekiranya yang baru menggantikan tempat yang lama dan yang sudah beberapa tahun menabur bakti di tempat orang diberi pula peluang untuk pulang menabur bakti di tempat sendiri. Keutamaan perlu diberikan kepada mereka yang sepatutnya dan yang sudah pun mencecah tempoh perkhidmatan sehingga 5 tahun dan ke atas di tempat orang. Cuma apa yang banyak berlaku sekarang ini ialah ketidaktelusan dalam pemilihan mereka yang layak berpindah dan penggunaan 'kabel' @ 'orang dalam'. Sedangkan yang tidak punyai 'kabel' atau 'orang dalam' hanya bergantung kepada nasib semata. Kalau nasib tidak menyebelahi terpaksalah mereka lalui juga walaupun dalam keadaan paksa rela. Mereka terpaksa mengulang lagi rutin yang sama, mungkin setahun, mungkin 2 tahun, tidak dapat dipastikan.
Hakikatnya pihak yang berkenaan perlu memandang serius isu perpindahan ini kerana ianya boleh mempengaruhi kualiti kerja guru-guru. Cuba renung-renungkan, bagaimana mungkin seseorang itu akan memberikan komitmen yang maksimun sekiranya fokus mereka sudah tidak terarah kepada kerjaya mereka seratus peratus. Tumpuan mereka banyak condong dan terarah kepada memikirkan tentang bagaimana nasib mereka tanpa suami atau isteri atau anak-anak disisi? bagaimana pula dengan ibu atau bapa yang sudah tua dan uzur di kampung tanpa ada yang menjaga mereka?? dan sampai bilakah harus berada dengan berjauhan daripada keluarga tercinta?? Mungkin kepada yang tidak mengalami mereka kurang peka dan kurang merasakan akibatnya, tapi bagi yang menanggung hanya mereka yang dapat rasa betapa terderanya perasaan mereka. Bukankah ini salah satu bentuk penganiayaan?? Sama-samalah kita renung-renungkan...
ralat pada tarikh 15 oktober kepada 15 November.
ReplyDelete