Ahlan Wasahlan... Welcome... Selamat datang...

Selamat mengunjungi blog saya yang serba dhaif ini... blog ini hanyalah sekadar tempat saya membuat review tentang sesuatu isu, produk dan tempat saya mencurahkan apa saja pandangan, idea dan karya yang tidak seberapa....Terdapat juga entri-entri yang saya perolehi daripada kursus-kursus, pembacaan serta perkongsian dengan teman-teman bloggers dan saya panjangkan lagi perkongsian di sini. Terlalu banyak kekurangan dan insyaAllah akan saya perbaiki dari semasa ke semasa. Diharapkan agar ada sahabat-sahabat yang sudi berkongsi idea dan apa saja isu dan komen di sini. Segala sumbangan, nasihat dan apa saja komen dan input yang membina saya dahului dengan jutaan terima kasih. Syukran Jazilan.




Terima kasih kerana sudi singgah ke blog saya. Sila tekan butang "like" sekiranya anda suka dengan blog ini. Terima kasih sekali lagi

Saturday, May 05, 2018

PRU 14, Buatlah Pilihan Yang Bijak Untuk 5 Tahun Yang Aman dan Sejahtera

Assalamualaikum dan salam sejahtera untuk semua yang sudi membaca catatan ringkas ini.

Alhamdulillah, syukur saya panjatkan kepada Allah Ta'ala kerana masih memberi peluang untuk saya bernafas, memperbaiki kelemahan diri serta berusaha untuk berdiri teguh pada jalanNYA. Semoga DIA sentiasa sudi untuk membimbing dan menunjuki hambaNYA yang lemah dan hina ini kepada jalanNYA yang LURUS lagi BENAR InsyaaALLAH. Selawat dan salam juga buat Junjungan Mulia, Suri Teladan Terbaik, Rasulullah s.a.w, Muhammad Penghulu para ambiya' wal mursalin. 

09 Mei 2018 hari Rabu merupakan tarikh dan hari penentuan untuk negara kita yang tercinta Malaysia di mana pada hari ini rakyat akan menurunkan kuasa untuk memilih kerajaan yang akan mengurus tadbir negara ini untuk tempoh jangka masa 5 tahun ke depan. Tempoh 5 tahun agak panjang. Sekiranya kerajaan yang bakal diberi mandat nanti akan menjalankan urus tadbir negara dengan adil, saksama dan amanah, meletakkan agama sebagai suluh dalam pentadbiran, mendahulukan kepentingan rakyat daripada kepentingan peribadi, bebas rasuah, segala bantuan untuk rakyat dapat disalurkan secara telus tanpa ada ketirisan berlaku, beban rakyat dikurangkan dengan menurunkan kepelbagaian kos sara hidup serta banyak lagi yang menjurus kepada kesejahteraan untuk rakyat dan negara  sudah pastinya tempoh 5 tahun itu terasa cepat berlalu. 

Bayangkan pula sekiranya mandat kepimpinan ini jatuh kepada tangan-tangan yang rasuah, penipu, hipokrit, yang mendahulukan kepentingan peribadi daripada kepentingan rakyat, menjual agama demi jawatan dan pangkat, yang cakap tak serupa bikin, pastinya tempoh 5 tahun akan menjadi sangat panjang. Rakyat pasti sengsara, terbeban dan tertekan. Namun, disaat itu kamu sudah tidak mampu berbuat apa-apa. Hanya rungutan demi rungutan yang kedengaran. Marah kamu, susah kamu, bebanan yang kamu terpaksa pikul dan tanggung siapa akan peduli. Jangan dirungut akan kos sara hidup yang makin meningkat, jangan disesali akan semakin hilangnya moral dan runtuhnya akhlak anak-anak kita, jangan dibebel akan sistem pendidikan dan perundangan yang semakin pincang, jangan dan jangan kerana disaat diri mampu memilih untuk menentukan siapa yang bakal mengurus tadbir negara ini dengan baik tetapi kamu nafikan dengan memangkah yang salah. 

Sahabat2 pembaca budiman, 
Jangan kata kita tak tahu mana yang betul dan benar, jangan kata semuanya sama. Ya, sudah pastinya setiap mereka ada kelemahan dan kekurangan. Kita kan manusia. Iman kita adakalanya bertambah dan berkurang. Namun, nasihat saya kepada diri saya dan semua pembaca, buatlah penilaian secara telus. Berilah keutamaan kepada bakal pemimpin yang mempunyai track record yang baik dan bebas rasuah serta memartabatkan agama dalam kepimpinan. Pemimpin yang faham agama insyaALLAH akan mampu mengurus tadbir negara dengan baik berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah sebagaimana yang telah dilakukan oleh junjungan besar kita Muhammad s.a.w dalam membentuk Daulah Islamiyyah di Bumi Madinah Al-Munawarrah tanpa mengabaikan kepentingan yang bukan Islam. 

Kita bukan tak faham, kita bukan tak tahu, tetapi kita sengaja pekakkan telinga dan butakan mata. Kita seolah-olah tidak yakin dengan Allah SWT sehingga kita meletakkan pergantungan kita kepada manusia melebihi pergantungan kita kepadaNYA. Kita terlupa bahawa Islam merupakan agama yang syumul (menyeluruh) mencakupi semua bidang kehidupan baik dari aspek ibadah, muamalat, ekonomi, pengetahuan, perundangan dan sebagainya.  Saya menyeru untuk kita sama-sama buat pilihan yang bijak. Inilah masanya. Wallahua'alam. 


p/s : Di sini saya sertakan manifesto sebahagian parti2 politik yang bertanding untuk rujukan semua pembaca. Bacalah dengan hati yang terbuka. 




Sunday, April 27, 2014

Pentaksiran Berasaskan Sekolah Tahun 2014 (Penambahbaikan)

Kepada para guru yang berminat untuk mendapatkan bahan-bahan terkini tentang Pentaksiran Berasaskan Sekolah Modul Penambahbaikan bolehlah klik pada link di bawah :

Wednesday, June 19, 2013

Bicara Tentang Rasa

Berbicara Tentang Rasa

“Ikutkan hati mati, ikutkan rasa binasa”. Itulah pepatah melayu yang sering kita dengar. Bila kita berbicara tentang rasa, setiap orang mempunyai pandangan dan pendapat tersendiri tentang apakah yang difahami dengan rasa itu?. Apapun pandangan dan pendapat  tentang pengertian rasa, pokok persoalannya adalah rasa yang bagaimana? , dari manakah ianya hadir?, apakah punca yang memacu hadirnya rasa itu? Mampukah rasa itu mempengaruhi keseluruhan kehidupan kita seharian? Dan berapa besarkah kesannya ke atas diri hari ini dan masa depan kita baik di dunia ini mahupun di akhirat sana? Baikkah? Atau burukkah?

Sekiranya rasa itu datangnya dari lidah, mungkin disebabkan oleh tersalah sukatan garam, gula dan asam, namun boleh ditambah perasa mengikut kehendak dan kemahuan kita. Akibatnya tidaklah ia sehingga mampu mempengaruhi perjalanan harian hidup kita. Tapi, bagaimana sekiranya rasa itu datangnya dari hati?. Adakah semudah ia datang dari lidah?

Rasa yang hadir dari hati seandainya ia dipacu oleh satu perasaan yang menggembirakan, maka hadirnya mampu menceriakan keseluruhan harian hidup kita. Keceriaan itu pasti akan tergambar pada wajah, penampilan, perwatakan dan perbuatan kita. Semuanya akan kelihatan seimbang. Keseluruhan hari-hari kita akan menjadi begitu bermakna dan bahagia. Namun, bagaimana pula sekiranya rasa yang hadir dari hati itu adalah sebuah perasaan yang hadirnya dipacu oleh perasaan hiba, sedih, kecewa dan duka, sudah pastinya ia mampu menggelapkan seluruh perjalanan harian hidup kita. Rutin harian kita akan terganggu. Kita mula hilang fokus dan semangat serta keyakinan diri. Kita akan mula rasa berputus asa dengan hidup. Kerongkong seakan tersekat, dada terasa penuh, hati pula terasa bagai ditoreh dengan sembilu dan dicucuk selumbar berbisa. Fikiran berkecamuk. Sentiasa berfikir dan berfikir, bertanya dan bertanya, mula mempersoalkan mengapa dan kenapa? Senyuman dilontarkan terasa hambar. Kaki menyentuh ke tanah tapi terasa di awan-awangan. Perjalanan kita mula pincang. Semuanya sudah tidak lagi kelihatan seimbang. Kalau kita biarkan rasa itu mengawal kita maka kita pasti akan binasa.

Justeru, bagaimana untuk merawat rasa yang hadirnya dipacu oleh hati yang lara dan berduka agar kita tidak binasa? Jawapannya sudah pasti ADA. Tapi adakah ianya semudah menambah perasa? Sudah tentulah jawapannya TIDAK. Kalau begitu, bagaimana? Jawapan yang paling tepat adalah SABAR dan YAKIN serta BERSANGKA BAIKLAH dengan ALLAH SWT. Itu adalah sebaik-baik penawar untuk kita merawat rasa yang bisa berbisa.

Mudahkah untuk sabar dan yakin serta bersangka baik dengan Allah SWT apabila semua rasa yang dibenci  datang menghimpit kita?. Sudah tentunya ianya amat SUKAR. Namun begitu, cuba kita renung-renungkan kata-kata Abu Talib Al-Makki dalam bukunya Quttul Qulub yang berbunyi :

“Ketahui olehmu sesungguhnya sabar itu menjadi sebab masuknya seseorang itu ke dalam syurga, punca terlepas daripada api neraka, seperti hadith pernah menjelaskan; Syurga itu dipenuhi dengan perkara yang dibenci (sewaktu di dunia) dan neraka itu dipenuhi dengan syahwat. 

Sememangnya untuk sabar dan bersangka baik dengan setiap ketentuan Allah SWT adalah sesuatu perkara yang tidak mudah untuk dilakukan. Tetapi seharusnya kita kembali mengimbas perjalanan sirah para Ambiya’ dan kalangan pengikut baginda. Mereka semua adalah orang yang menghadapi cubaan dan ujian yang sangat teruk. Orang yang menyangka bahawa jalan iman itu dipenuhi oleh keindahan, bunga-bungaan dan angin-angin yang dingin, maka sesungguhnya bermakna dia jahil tentang tabiat iman itu sendiri. Sekiranya kita ragu-ragu dan kurang yakin, maka eloklah kita kembali merenung firman Allah SWT yang berbunyi :

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan,”kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?” (AL-Ankabut:2)

Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (ujian) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah”, Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat. (Al-Baqarah:214)

Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah:153)
Barang siapa mengharap pertemuan dengan Allah, maka sesungguhnya waktu (yang dijanjikan) Allah pasti datang. Dan DIA Yang Maha Mendengar, Maha Mengetahui. (Al-Ankabut :5)

Dan barang siapa berjihad, maka sesungguhnya jihadnya itu untuk dirinya sendiri. Sungguh Allah MahaKaya (tidak memerlukan sesuatu) dari seluruh alam.
                                                                                              (Al-Ankabut :6)


Sekiranya kita berjaya menempuh segala ujian dan dugaan dengan rasa sabar serta yakin dengan setiap janji-janjI Allah SWT dan bersangka baik denganNYA setiap masa, menerima setiap ketentuan yang ditakdirkanNYA dengan redha dan penuh rasa kehambaan, maka sudah pastinya kita akan meraih kejayaan dan kemenangan yang besar di akhirat sana. Pintu-pintu syurga akan terbuka luas untuk kita. Pada masa itu nanti, semua rasa yang hadir adalah rasa bahagia dan suka ria.

Justeru, bergembiralah duhai hati yang lara.. Selamat jalan derita, tiada lagi sengsara. Terima kasih Allah. Allahu Robbi. Hasbiyallah wani’mal wakil.
Azansubuh 1:06 pagi @ kamar sepi.myy.

Monday, April 22, 2013

Minatku Pada Berkebun Siri 2


Sambungan Minatku Pada Berkebun

Sebelum ini saya ada berkongsi dengan para pembaca tentang zaman kanak-kanak saya yang cukup indah untuk dikenang semula.. Bersandarkan pengalaman zaman kanak-kanak itu juga saya rasa minat pada tanaman ini timbul dalam diri saya.
Minat untuk berbudi pada tanah ini  saya warisi dari kedua ibu bapa saya yang mereka juga sebenarnya warisi dari nenek moyang kami..(rasa-rasanya lah sebab datuk saya juga petani..hehe). Walaupun tidak dikomersilkan tetapi ianya menjadi hobi saya pada masa lapang.
Setiap kali balik sekolah saya akan tengok kebun kecil saya sebelah rumah sampai saya rasa puas. Penat bekerja akan hilang dengan sendirinya bila mata tertumpu pada tanaman saya. Saya anggap ianya adalah satu terapi yang baik untuk minda dan badan saya selepas seharian bergelumang dengan tekanan kerja. Mencangkung sambil mencabut rumput-rumput liar yang tumbuh menyaingi tanaman adalah satu keseronokan pada saya. Menyentuh tanaman saya sambil berbual-bual dengannya adalah kerja gila bagi orang lain tetapi tidak bagi saya. Itulah rutin saya setiap kali pulang dari kerja.
Sekiranya saya terlalu kepenatan, saya sekadar  memerhatikan tanaman-tanaman saya sambil berbual-bual dengan mereka.  Melihat tanaman-tanaman tersebut membesar dan berbuah adalah satu kepuasan yang tak dapat digambarkan.  Sekiranya ada hasilnya, kebiasaannya akan saya bahagi-bahagikan dengan jiran-jiran atau rakan-rakan sekerja. Bukanlah banyak pun sebenarnya..tapi ianya satu kepuasan bila kita sendiri yang tanam. Bila makan hasil tangan kita sendiri rasa bersyukur tu lebih sikit sebab kita sendiri tengok ianya membesar dan mengeluarkan hasil depan mata kita. Bukan senang juga sebenarnya…ada yang perlukan lebih perhatian barulah nak menjadi.. alaa..macam jaga anak-anak jugalah..hehe perlukan belaian dan kasih sayang yang secukupnya..
Selain satu kepuasan apabilan melihat tanaman kita membesar dan mengeluarkan hasil…badan pun rasa segar..pernah beberapa kali apabila saya rasa lemah badan saya akan gagahkan diri berkebun..alhamdulillah..apabila turun berkebun, peluh keluar rasa ringan badan. Baru nak teringat, orang tua dulu-dulu patutlah tak pandai duduk diam. Asal tak kerja mesti sakit-sakit badan..Mereka cakap kalau tak kerja tak keluar peluh..Hmmmmm…kira exercise mereka la tu…
Kebanyakan orang sekarang nak keluarkan peluh kena keluarkan duit, beli alatan fitness, tak pun bayar kelas senamrobik. Nak bersukan pun sekarang ni banyak keluar duit.. Nak main futsal pakai duit, bowling pakai duit.. orang dulu-dulu berkebun dah kira senaman la tu…selain sihat tubuh badan dapat hasil yang menyihatkan..pergi kebun bekerja dengan tulang empat kerat, keluar peluh dengan percuma, balik rumah bawa hasil kebun yang menyihatkan..ermm..boleh dipanggil double triple benefits ke apa tu..? ehehe..
Kita sekarang ni nak pergi jogging  kat taman sekali sekala paling kurang pun nak kena ada kasut yang selesa dan sesuai..itupun jarang-jarang..selalu-selalu tak dapat, tak ada masa.. saya la tu sebenarnya.. nak-nak lagi kalau jogging kat taman..mestila nak kena pakai ‘proper’ sikit.. orang dulu-dulu tak perlu kasut bagai..belasah jea kaki ayam turun kebun..hehe..
Tapi betul juga orang cakap.. itu dulu..dulu dan kini tak sama kan..? Tapi yang dulu-dulu kalau elok dan masih relevan dengan zaman kini kenapa kita tak boleh teruskan..betul tak..??
Saya rasa cukuplah dulu perkongsian saya untuk kali ini. Insya Allah kalau ada kesempatan saya akan berkongsi lagi tentang minat saya ini kalau ada yang sudi membacanya. Sehingga berjumpa lagi..

Friday, April 12, 2013

Minatku Pada Berkebun

Berkebun oh  berkebun...

Bermula 2013, jarang-jarang balik kerja awal. Makin bertambah tahun makin tambahlah kerja. Macam-macam kerja harus dibereskan. Tapi kali ni bukan nak cerita tentang balik kerja lambat. Kali ni saya nak kongsikan hobi saya dengan para pembaca yang sudi singgah kat blog saya ni.
Perkara yang saya paling suka buat bila ada masa lapang dan berada kat rumah adalah berkebun. Saya pun tak tahu camana dan bila minat berkebun ni melekat kat diri saya. Tapi seingat saya sejak dari kecil saya kerap ikut keluarga saya mengusahakan tanaman tembakau.  Tanaman tembakau adalah antara tanaman yang agak popular di negeri saya pada masa itu. Keluarga saya pun memang  asal dari golongan petani sebenarnya. Jadi, sahlah hobi turun temurun la ni..hehe..
Terlanjur cerita tentang zaman kecil-kecil dulu saya nak kongsikan rasa rindu saya pada zaman kanak-kanak. Saya dan kakak-kakak saya sering dibawa oleh ayah dan ibu kami ke ladang tembakau mereka setiap kali hujung minggu. Seronoknya masa tu.. kalau dapat mahu kembali semula ke masa itu.. berlari-lari dengan kakak-kakak saya di dalam ladang tembakau, main sorok-sorok di sebalik daun-daun tembakau yang besar dan tinggi dari kami, panjat pokok mangga kat tepi ladang, angkut air kat parit untuk siram anak tembakau, tolong ‘kerekkan’ anak tembakau, cari pucuk pia kat tepi sungai sebelah ladang sambil menyanyi  lagu kesukaan kami…
“pucuk pia celur pia pucuk meniti sayur…”  fuhhh…semuanya masih segar dalam ingatan.. pernah sekali tu tanpa pengetahuan keluarga kami meraduk air paya separas pinggang kat tepi sungai semata-mata untuk dapatkan pucuk pia kegemaran kami. Masa itu mana nak fikir bahaya. Keterujaan melihat pucuk-pucuk pia yang tumbuh subur menghilangkan semua ketakutan. Kalau dikenangkan semula tak sanggup rasanya nak meraduk paya yang penuh dengan lumpur dan air hitam tu. Tempat ular sawa berkampung halaman tu.. Alhamdulillah..syukurlah  tak ada apa-apa yang berlaku pada masa tu..Tapi berbaloi juga dapat satu guni pucuk pia…dapat la bagi-bagi kat jiran tetangga..hehe..
Antara yang paling kami suka juga bila ikut keluarga ke ladang apabila masa makan bekal yang dibawa. Sebelum makan bekal saya dan kakak-kakak akan panjat pokok mangga rendang yang ada kat tepi ladang. Seingat saya satu pokok jea..tapi saya tak ingat bila masa ianya tak berbuah..selalu jea ada buah..lebat pula tu buahnya… Kami akan petik mangga muda untuk dijadikan pelengkap hidangan dan pembuka selera . Biasanya mangga tu akan dicincang dan diletakkan dalam budu yang menjadi hidangan wajib. Kami sekeluarga akan makan dengan berseleranya walaupun lauknya hanyalah ikan goreng atau ikan rebus dengan budu dan mangga muda disertakan dengan ulam pucuk pia dan ulam-ulaman kampung  yang mak dan ayah saya tanam sendiri di bekakang rumah kami. Pasti bertambah-tambah nasi..hehe..seronoknyeee masa tu….walaupun tak mewah tapi kami bahagia….
Tamat siri 1…(insyaAllah akan disambung siri 2 pada catatan akan datang )