Ahlan Wasahlan... Welcome... Selamat datang...

Selamat mengunjungi blog saya yang serba dhaif ini... blog ini hanyalah sekadar tempat saya membuat review tentang sesuatu isu, produk dan tempat saya mencurahkan apa saja pandangan, idea dan karya yang tidak seberapa....Terdapat juga entri-entri yang saya perolehi daripada kursus-kursus, pembacaan serta perkongsian dengan teman-teman bloggers dan saya panjangkan lagi perkongsian di sini. Terlalu banyak kekurangan dan insyaAllah akan saya perbaiki dari semasa ke semasa. Diharapkan agar ada sahabat-sahabat yang sudi berkongsi idea dan apa saja isu dan komen di sini. Segala sumbangan, nasihat dan apa saja komen dan input yang membina saya dahului dengan jutaan terima kasih. Syukran Jazilan.




Terima kasih kerana sudi singgah ke blog saya. Sila tekan butang "like" sekiranya anda suka dengan blog ini. Terima kasih sekali lagi

Wednesday, June 19, 2013

Bicara Tentang Rasa

Berbicara Tentang Rasa


“Ikutkan hati mati, ikutkan rasa binasa”. Itulah pepatah melayu yang sering kita dengar. Bila kita berbicara tentang rasa, setiap orang mempunyai pandangan dan pendapat tersendiri tentang apakah yang difahami dengan rasa itu?. Apapun pandangan dan pendapat  tentang pengertian rasa, pokok persoalannya adalah rasa yang bagaimana? , dari manakah ianya hadir?, apakah punca yang memacu hadirnya rasa itu? Mampukah rasa itu mempengaruhi keseluruhan kehidupan kita seharian? Dan berapa besarkah kesannya ke atas diri hari ini dan masa depan kita baik di dunia ini mahupun di akhirat sana? Baikkah? Atau burukkah?

Sekiranya rasa itu datangnya dari lidah, mungkin disebabkan oleh tersalah sukatan garam, gula dan asam, namun boleh ditambah perasa mengikut kehendak dan kemahuan kita. Akibatnya tidaklah ia sehingga mampu mempengaruhi perjalanan harian hidup kita. Tapi, bagaimana sekiranya rasa itu datangnya dari hati?. Adakah semudah ia datang dari lidah?

Rasa yang hadir dari hati seandainya ia dipacu oleh satu perasaan yang menggembirakan, maka hadirnya mampu menceriakan keseluruhan harian hidup kita. Keceriaan itu pasti akan tergambar pada wajah, penampilan, perwatakan dan perbuatan kita. Semuanya akan kelihatan seimbang. Keseluruhan hari-hari kita akan menjadi begitu bermakna dan bahagia. Namun, bagaimana pula sekiranya rasa yang hadir dari hati itu adalah sebuah perasaan yang hadirnya dipacu oleh perasaan hiba, sedih, kecewa dan duka, sudah pastinya ia mampu menggelapkan seluruh perjalanan harian hidup kita. Rutin harian kita akan terganggu. Kita mula hilang fokus dan semangat serta keyakinan diri. Kita akan mula rasa berputus asa dengan hidup. Kerongkong seakan tersekat, dada terasa penuh, hati pula terasa bagai ditoreh dengan sembilu dan dicucuk selumbar berbisa. Fikiran berkecamuk. Sentiasa berfikir dan berfikir, bertanya dan bertanya, mula mempersoalkan mengapa dan kenapa? Senyuman dilontarkan terasa hambar. Kaki menyentuh ke tanah tapi terasa di awan-awangan. Perjalanan kita mula pincang. Semuanya sudah tidak lagi kelihatan seimbang. Kalau kita biarkan rasa itu mengawal kita maka kita pasti akan binasa.

Justeru, bagaimana untuk merawat rasa yang hadirnya dipacu oleh hati yang lara dan berduka agar kita tidak binasa? Jawapannya sudah pasti ADA. Tapi adakah ianya semudah menambah perasa? Sudah tentulah jawapannya TIDAK. Kalau begitu, bagaimana? Jawapan yang paling tepat adalah SABAR dan YAKIN serta BERSANGKA BAIKLAH dengan ALLAH SWT. Itu adalah sebaik-baik penawar untuk kita merawat rasa yang bisa berbisa.

Mudahkah untuk sabar dan yakin serta bersangka baik dengan Allah SWT apabila semua rasa yang dibenci  datang menghimpit kita?. Sudah tentunya ianya amat SUKAR. Namun begitu, cuba kita renung-renungkan kata-kata Abu Talib Al-Makki dalam bukunya Quttul Qulub yang berbunyi :

“Ketahui olehmu sesungguhnya sabar itu menjadi sebab masuknya seseorang itu ke dalam syurga, punca terlepas daripada api neraka, seperti hadith pernah menjelaskan; Syurga itu dipenuhi dengan perkara yang dibenci (sewaktu di dunia) dan neraka itu dipenuhi dengan syahwat. 

Sememangnya untuk sabar dan bersangka baik dengan setiap ketentuan Allah SWT adalah sesuatu perkara yang tidak mudah untuk dilakukan. Tetapi seharusnya kita kembali mengimbas perjalanan sirah para Ambiya’ dan kalangan pengikut baginda. Mereka semua adalah orang yang menghadapi cubaan dan ujian yang sangat teruk. Orang yang menyangka bahawa jalan iman itu dipenuhi oleh keindahan, bunga-bungaan dan angin-angin yang dingin, maka sesungguhnya bermakna dia jahil tentang tabiat iman itu sendiri. Sekiranya kita ragu-ragu dan kurang yakin, maka eloklah kita kembali merenung firman Allah SWT yang berbunyi :

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan,”kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?” (AL-Ankabut:2)

Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (ujian) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah”, Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat. (Al-Baqarah:214)

Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah:153)
Barang siapa mengharap pertemuan dengan Allah, maka sesungguhnya waktu (yang dijanjikan) Allah pasti datang. Dan DIA Yang Maha Mendengar, Maha Mengetahui. (Al-Ankabut :5)

Dan barang siapa berjihad, maka sesungguhnya jihadnya itu untuk dirinya sendiri. Sungguh Allah MahaKaya (tidak memerlukan sesuatu) dari seluruh alam.
                                                                                              (Al-Ankabut :6)


Sekiranya kita berjaya menempuh segala ujian dan dugaan dengan rasa sabar serta yakin dengan setiap janji-janjI Allah SWT dan bersangka baik denganNYA setiap masa, menerima setiap ketentuan yang ditakdirkanNYA dengan redha dan penuh rasa kehambaan, maka sudah pastinya kita akan meraih kejayaan dan kemenangan yang besar di akhirat sana. Pintu-pintu syurga akan terbuka luas untuk kita. Pada masa itu nanti, semua rasa yang hadir adalah rasa bahagia dan suka ria.

Justeru, bergembiralah duhai hati yang lara.. Selamat jalan derita, tiada lagi sengsara. Terima kasih Allah. Allahu Robbi. Hasbiyallah wani’mal wakil.
Azansubuh 1:06 pagi @ kamar sepi.myy.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen anda. Diharapkan sebarang komen yang ditinggalkan tidak menyentuh sensitiviti agama, perkauman dan isu keselamatan negara. Pihak saya tidak akan bertanggungjawab ke atas setiap komen yang tidak bermoral, melanggar etika dan undang-undang. Adalah juga diingatkan sebarang komen yang ditinggalkan di bawah tanggungjawab anda sendiri.