Saban hari kita
memikirkan apakah yang akan kita lalui lima atau sepuluh tahun akan datang.
Mulalah kita merancang itu dan ini sebagai persediaan. Namun apabila masa itu
tiba, seringkali apa yang kita fikirkan lima atau sepuluh tahun yang lepas
tentang masa hari ini jauh tersasar daripada reality yang kita sedang lalui
kini. Itulah hakikatnya kehidupan. Kita sebagai manusia biasa, sebagai hamba
Allah yang amat kerdil, maka tiada daya kita untuk menentukan apa yang bakal
berlaku pada hari esok. Sebagai seorang hamba kepada Pencipta yang Maha
Perkasa kita hanya mampu merancang dan
bersedia, tetapi Dialah jua yang Maha menentukan segala perancangan itu sama
ada selari dengan ketentuanNYA atau tidak. Semua itu adalah di dalam Kudrat dan
IradatNYA.
Berbalik kepada
perancangan kita, sekiranya ia selari dengan ketentuan Allah, maka
setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan kepadaNYA, Al-Qaadir Al-Muqaddir Yang
Maha Menentukan. Namun andainya apa yang dirancang kita tidak selari dengan
ketentuan Allah, maka janganlah jiwa menjadi putus asa, anggaplah ketentuan itu
adalah yang terbaik buat kita kerana DIA Allah tidak akan pernah sekali-kali
menzalimi hamba-hambaNYA. Malah kita sebagai hambaNYA lah yang seringkali
menzalimi diri kita sendiri tanpa kita sedari.
Apabila diri
dihimpit susah, apabila musibah datang menjengah, kita akan sering menyoal
Allah. Kenapa aku? Kenapa bukan begitu? Kenapa pula bukan begini? Kenapa mesti
aku? Kenapa bukan orang lain? Cubalah pula bila Allah mencurahkan rahmat dan
nikmatNYA ke atas kita, berapa kerap pula kita menadah tangan panjatkan
kesyukuran?. Sebaliknya kita akan melahap nikmatNYA dengan begitu rakus
sehingga kita lupa kepada Si Pemberi Yang Maha Pemurah. Namun dek kerana sifat
Si Pemberi Yang Maha Pemurah itulah DIA tetap jua memberi walaupun tidak
dihargai. NikmatNYA melimpah ruah bertaburan di atas muka bumi ini, tersedia
untuk hamba-hambaNYA walaupun mereka
sering alpa.
Aduhai
hamba-hamba Allah sekalian, termasuklah diriku yang sentiasa alpa dan lalai…
No comments:
Post a Comment
Terima kasih di atas komen anda. Diharapkan sebarang komen yang ditinggalkan tidak menyentuh sensitiviti agama, perkauman dan isu keselamatan negara. Pihak saya tidak akan bertanggungjawab ke atas setiap komen yang tidak bermoral, melanggar etika dan undang-undang. Adalah juga diingatkan sebarang komen yang ditinggalkan di bawah tanggungjawab anda sendiri.