Ahlan Wasahlan... Welcome... Selamat datang...

Selamat mengunjungi blog saya yang serba dhaif ini... blog ini hanyalah sekadar tempat saya membuat review tentang sesuatu isu, produk dan tempat saya mencurahkan apa saja pandangan, idea dan karya yang tidak seberapa....Terdapat juga entri-entri yang saya perolehi daripada kursus-kursus, pembacaan serta perkongsian dengan teman-teman bloggers dan saya panjangkan lagi perkongsian di sini. Terlalu banyak kekurangan dan insyaAllah akan saya perbaiki dari semasa ke semasa. Diharapkan agar ada sahabat-sahabat yang sudi berkongsi idea dan apa saja isu dan komen di sini. Segala sumbangan, nasihat dan apa saja komen dan input yang membina saya dahului dengan jutaan terima kasih. Syukran Jazilan.




Terima kasih kerana sudi singgah ke blog saya. Sila tekan butang "like" sekiranya anda suka dengan blog ini. Terima kasih sekali lagi

Saturday, November 27, 2010

KTMB Perlu Lebih Peka Keselesaan Pengguna Tren Express

Semasa masih bergelar penuntut di universiti dulu, keretapi adalah perkhidmatan utama yang menjadi pilihan saya apabila setiap kali tiba musim cuti semester untuk balik ke kampung. Selain mendapat potongan harga untuk pelajar, keselesaan ruang untuk bergerak, perkhidmatan kantin dan surau yang disediakan dalam kabin serta faktor risiko rendah kemalangan membuatkan saya sentiasa memilih perkhidmatan ini setiap kali saya  pulang ke  kampung dari  Kuala Lumpur. Walaupun masa perjalanan yang agak panjang sehingga menelan sehingga 12 ke 14 jam berbanding perkhidmatan bas yang hanya mengambil masa sekitar 8 hingga 9 jam sahaja untuk sampai, tetapi ianya tetap menjadi pilihan no.1 saya pada ketika itu. 

Itu semua cerita 7 tahun yang lalu. Baru-baru ini, saya dijemput oleh kawan baik saya untuk datang ke rumah beliau sempena cuti sekolah akhir tahun. Memandangkan sudah lama saya tidak menaiki keretapi, jadi saya dengan terujanya memilih perkhidmatan keretapi. Dengan demikian saya membeli tiket Tren Express Sinaran Timur ke Kuala Lipis Kelas Superior kerana pada hemat saya ianya lebih selesa berbanding Kelas Ekonomi dan harganya pun berbeza. Pada saya tidak mengapa untuk membayar lebih sedikit asalkan selesa. 

Sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke dalam tren hati saya mula berkata-kata. Apa tidaknya apabila melihat pintu masuk ke koc superior tersebut tertulis automatic door, tetapi tidak berfungsi. Tidak mengapa kalau sekiranya dapat ditutup secara manual. Tetapi malangnya apabila ada penumpang yang cuba menutup tetapi tidak berjaya kerana pintu tersebut tidak dapat ditarik. Apabila berada ditempat duduk saya mendapati seat saya tidak dapat dilaraskan sebagaimana sepatutnya. Bila saya memandang ke sebelah saya, seorang penumpang tersenyum dan menunjukkan kepada saya meja di depan tempat duduknya dan penumpang sebelahnya juga tercabut. Bila difikirkan rasa kelakar pun ada. 


Masalah pintu koc dan meja ini mungkin dianggap isu enteng bagi sesetengah orang ataupun pihak KTMB sendiri. Tetapi pada saya ianya perlu dipandang serius kerana di samping melibatkan imej perkhidmatan yang disediakan oleh pihak KTMB dimata pengguna terutamanya pelancong-pelancong asing, ia juga melibatkan isu keselesaan pengguna perkhidmatan tren tersebut. Saya menulis berdasarkan pengalaman sendiri di mana saya rasa seperti itulah kali terakhir saya akan menggunakan perkhidmatan tren tersebut kerana sepanjang perjalanan pergi dan balik saya dari Kuala Lipis sangat-sangat tidak selesa membuatkan saya berfikir panjang bagaimana dengan penumpang-penumpang destinasi terakhir. Mereka akan lebih terseksa kerana jarak perjalanan mereka lebih jauh berbanding saya.  Pintu koc yang tidak dapat ditutup menyebabkan aircond di dalam koc tersebut seolah-olah tidak berfungsi. . Ditambah lagi dengan asap rokok yang masuk ke dalam koc amatlah menganggu keselesaan penumpang-penumpang di dalam koc tersebut terutamanya bagi penumpang-penumpang dengan bayi dan kanak-kanak. 

Hakikatnya saya bukanlah orang yang melulu dan saya cuba bersangka baik. Pada saya mungkin kebetulan saja kerosakan berlaku sewaktu saya menggunakan tren tersebut membuatkan saya masih ingin memilih balik semula ke kampung saya nanti dengan menggunakan perkhidmatan tren Expres juga. Besar harapan saya apabila perjalanan balik nanti masalah seperti ini tidak akan berlaku lagi. Malang sekali, semasa perjalanan balik, masalah sama juga berlaku membuatkan saya terfikir bagaimana pihak pengurusan atau kakitangan KTMB menjalankan tugas mereka??? Dimana jaminan kualiti yang mereka tawarkan kepada pengguna-pengguna perkhidmatan mereka???

Sepanjang perjalanan pergi dan balik ada suara-suara kesal kedengaran di mana harga tiket yang dibayar tidak berbaloi dengan perkhidmatan yang ditawarkan. Saya sendiri turut berasa kesal dengan pengurusan KTMB melibatkan isu ini. Sepatutnya setiap koc diselenggara dengan baik dan keselesaan pengguna dititikberatkan untuk menjamin perkhidmatan mereka yang berkualiti dan pengguna berpuas hati. Biarlah tambang yang dikenakan setimpal dengan perkhidmatan yang dihulukan jangan hanya mengaut keuntungan tetapi keselesaan pengguna diabaikan. Renung-renungkan.

Monday, November 15, 2010

Isu Pindah @ Transfer Guru-guru di Sabah dan Sarawak

Dua tiga hari ni isu yang hangat diperkatakan oleh para guru di Sabah Sarawak ialah mengenai perpindahan. Sana sini bertanyakan si polan itu atau si polan ini dapat pindah atau belum. Bagi yang mengisi borang perpindahan masing-masing menunggu tarikh 15hb Oktober umpama pungguk merindukan bulan purnama. Tup-tup bila keputusan keluar ramai yang menangis tidak berlagu. Apa taknya bila disemak keputusan yang keluar adalah "Dukacita dimaklumkan permohonan anda tidak berjaya".

     Sebaik sahaja semakan keputusan keluar, pelbagai reaksi dapat dilihat. Ada yang termenung panjang, ada pula yang menunjukkan rasa tak puas hati, ada yang senyum sampai telinga dan tak kurang juga yang redha dan pasrah. Kepada yang berjaya tahniah dan syabas diucapkan. Semoga dapat menjalankan tugas dengan lebih cemerlang lagi di tempat baru. Bagi yang belum berjaya insyaAllah mungkin belum lagi rezeki kita. Tahun depan jangan jemu-jemu cuba lagi pohon.

     Secara jujurnya saya turut bersimpati dengan sahabat-sahabat yang suami @ isteri @ anak-anak yang terpaksa tinggal berjauhan dek tanggunjawab yang tergalas di bahu. Kalau setahun dua berjauhan mungkin boleh lagi bertahan. Tapi kalau sampai anak membesar tanpa kasih sayang bapa, ibu pula terpaksa membesarkan anak tanpa suami disisi, isteri yang mengandung terpaksa berdikari tanpa perhatian suami disebabkan faktor jarak, ibu tua terpaksa tinggal berjauhan daripada anak bertahun-tahun lamanya, ini saya kira sudah tidak relevan. Alasan perkhidmatan masih diperlukan di tempat tersebut. Bukan ingin menafikan hal demikian, tetapi apalah salahnya sekiranya yang baru menggantikan tempat yang lama dan yang sudah beberapa tahun menabur bakti di tempat orang diberi pula peluang untuk pulang menabur bakti di tempat sendiri. Keutamaan perlu diberikan kepada mereka yang sepatutnya dan yang sudah pun mencecah tempoh perkhidmatan sehingga 5 tahun dan ke atas di tempat orang. Cuma apa yang banyak berlaku sekarang ini ialah ketidaktelusan dalam pemilihan mereka yang layak berpindah dan penggunaan 'kabel' @ 'orang dalam'. Sedangkan yang tidak punyai 'kabel' atau 'orang dalam' hanya bergantung kepada nasib semata. Kalau nasib tidak menyebelahi terpaksalah mereka lalui juga walaupun dalam keadaan paksa rela. Mereka terpaksa mengulang lagi rutin yang sama, mungkin setahun, mungkin 2 tahun, tidak dapat dipastikan.

     Hakikatnya pihak yang berkenaan perlu memandang serius isu perpindahan ini kerana ianya boleh mempengaruhi kualiti kerja guru-guru. Cuba renung-renungkan, bagaimana mungkin seseorang itu akan memberikan komitmen yang maksimun sekiranya fokus mereka sudah tidak terarah kepada kerjaya mereka seratus peratus. Tumpuan mereka banyak condong dan terarah kepada memikirkan tentang bagaimana nasib mereka tanpa suami atau isteri atau anak-anak disisi? bagaimana pula dengan ibu atau bapa yang sudah tua dan uzur di kampung  tanpa ada yang menjaga mereka?? dan sampai bilakah harus berada dengan berjauhan daripada keluarga tercinta??  Mungkin kepada yang tidak mengalami mereka kurang peka dan kurang merasakan akibatnya, tapi bagi yang menanggung hanya mereka yang dapat rasa betapa terderanya perasaan mereka. Bukankah ini salah satu bentuk penganiayaan?? Sama-samalah kita renung-renungkan...

Thursday, November 11, 2010

Produk Baru Detox Miqfoot dan Detox MiQSlim sudah mula memasuki pasaran terbuka

Toksin yang berkumpul di dalam badan kita yang disebabkan oleh pemakanan, asap rokok, pengambilan produk-produk makanan tambahan dan produk kecantikan yang tidak terkawal serta faktor persekitaran boleh menyebabkan kita bakal menghadapi risiko penyakit berbahaya. Antara  kesan mudarat yang diakibatkan oleh tindakbalas toksin dalam darah seperti:

  • Risiko penyakit kulit
  • Tumor
  • Penyakit jantung
Produk Detox MiQfoot dan Detox MiQSlim keluaran MiQdad Trading telah mula memasuki pasaran terbuka. Kedua-dua produk yang dikeluarkan diperkaya de
ngan herba-herba terpilih keluaran Jun Dong dan dikilangkan dengan teknologi tinggi berfungsi untuk:
  1. Membuang toksin, racun dan lebihan air dalam badan
  2. Menjadikan tubuh lebih ringan dan bertenaga
  3. Mengatasi masalah sukar tidur dan mudah bangun pagi
  4. Melegakan sakit kepala, migrain atau stress
  5. Melawaskan pembuangan najis atau haid
  6. Mengurangkan sembelit dan kembung perut
  7. Mengimbangi kekotoran dalam badan, lipid, tekanan darah, gula dalam darah dan menstabilkannya secara berperingkat
  8. Melangsingkan badan
  9. Dan banyak lagi kebaikan yang boleh dirasai oleh pemakai Detox MiQfoot dan Detox MiqSlim
Dengan harga tawaran yang istimewa yang ditawarkan oleh MiQdad Trading anda boleh menyahkan toksin dalam badan dengan kos yang sangat minima.


Tuesday, November 09, 2010

Cabaran Guru Masa kini

Guru adalah 'role model'. Ungkapan yang sering menyapa telinga kita apabila menyentuh bab guru. Ini kerana guru selalunya akan menjadi contoh ikutan murid-muridnya. Bagi menjadi insan yang boleh diteladani bukan senang. Pengalaman menjadi seorang guru telah membuka ruang dalam diri  untuk muhasabah dan memperbetulkan mana yang pincang untuk saya melangkah dengan lebih yakin dalam memikul amanah berat yang dianugerahkan Allah s.w.t ke atas insan dhaif seperti saya.

      Menjadi seorang guru ini saya kira tidak semudah yang disangkakan sebilangan kelompok tertentu. Ada pihak yang berpendapat menjadi guru adalah tanggungjawab yang mudah. Mungkin ada benarnya dari sudut pandangan mereka. Tetapi bagi saya hanya manusia yang mempunyai pemikiran dangkal sahaja yang berfikiran begitu. Tanggungjawab seorang guru bukan setakat pergi sekolah, masuk kelas, chalk and talk, bagi kerja rumah kemudian balik. Cukup 25 haribulan terima gaji.

     Sebenarnya tugas dan peranan seorang guru lebih besar daripada itu. Disamping menyebarkan ilmu pengetahuan peranan seorang guru lebih menjurus kepada mendidik, membimbing,  membina sahsiah dan membentuk nilai-nilai murni dalam diri para pelajarnya. Aspek-aspek sebegini yang memberikan cabaran yang besar kepada insan guru alaf 21 termasuklah diri saya sendiri.

     Melalui pengalaman selama enam tahun bergelar guru di sekolah rendah, macam-macam karenah dan ragam murid telah saya perhatikan. Dari tahun ke tahun, masalah disiplin semakin meningkat. Kadang-kadang kita sendiri tidak terfikir masalah disiplin serius boleh berlaku di sekolah rendah. Bila isu dibangkitkan, ada sahaja suara-suara sumbang kendengaran yang cenderung membela murid dan menyalahkan guru. Ada pihak secara lantang mengatakan semakin ramai guru agama dihantar ke sekolah semakin meningkat pula masalah disiplin. Apakah guru-guru agama ini tidak menjalankan tanggungjawab mereka dengan sebaiknya???  Ini senario biasa dan kerapkali kita dengar. Bila wujudnya permasalahan di sekolah, guru sering dipersalahkan. Persoalannya adakah semua masalah disiplin yang berlaku di sekolah berpuncanya daripada ajaran dan didikan guru yang pincang??? bagaimana pula dengan peranan ibu bapa yang kurang memantau pergaulan anak-anak mereka di rumah???

    Bukan niat saya untuk mencari salah siapa sehinggakan masalah disiplin murid-murid masa kini semakin meningkat. Sekiranya ibu bapa dan guru-guru mampu saling memahami tidak akan timbul isu siapa salah. Masing-masing perlu menyedari peranan dan tanggungjawab mereka. Menyedari hakikat itu, ibubapa dan guru perlu saling berhubung dan berinteraksi. Komunikasi dua hala di antara ibubapa dan guru amat penting bagi membendung permasalahan disiplin ini. Apabila berada di sekolah, murid-murid adalah di bawah tanggungjawab guru-guru. Menjadi tanggungjawab guru untuk mendidik dan membimbing mereka dengan nilai-nilai yang terpuji. Semasa di rumah, mereka adalah di bawah tanggungjawab ibubapa mereka. Menjadi kewajipan ibubapa untuk memantau perkembangan anak-anak mereka daripada pelbagai aspek, termasuklah aspek akademik, pergaulan dan sahsiah mereka. Ibubapa juga perlu menyokong apa sahaja aktiviti, peraturan dan program yang diaturkan oleh pihak sekolah kepada anak-anak mereka.

     Hakikatnya, terdapat sebilangan ibubapa yang kurang memberi kerjasama kepada pihak sekolah dalam aspek-aspek tertentu. Contohnya, pihak sekolah telah menetapkan murid balik lewat pada hari-hari tertentu disebabkan ada aktiviti-aktiviti atau program-program tertentu yang telah dirancang ke atas mereka. Namun begitu, ada segelintir ibubapa yang dengan sengaja mencipta alasan bagi pihak anak mereka untuk tidak mengikuti aktiviti tersebut kerana beranggapan bahawa aktiviti tersebut tidak penting. Tambahan lagi kalau bukan melibatkan subjek teras yang melibatkan ujian atau peperiksaan.

     Melalui pengalaman saya sendiri, saya pernah berhadapan dengan ibubapa yang datang berjumpa saya meminta izin bagi pihak anak mereka tidak menghadiri kelas tasmik dengan alasan ada tuisyen matematik di luar. Apa lagi yang mampu saya cakapkan kalau ibubapa sendiri kurang sensitif dengan perkara sebegini. Bukan saya mengatakan tuisyen matematik tidak penting, sedangkan kelas tasmik juga tidak kurang pentingnya tambahan pula ianya adalah sebahagian daripada ketetapan sekolah. Tuisyen matematik di luar itu adalah optional manakala kelas tasmik pula adalah compulsory. Sepatutnya ibubapa lebih sensitif apabila menyentuh isu sebegini. Ini secara tidak langsung akan memberikan tafsiran yang salah kepada anak-anak di mana mereka merasakan bahawa penekanan mereka di sekolah adalah lebih menjurus kepada sesuatu yang bersifat akademik semata sehingga mengabaikan aspek nilai agama dan pembentukan sahsiah.

      Sudah sampai masanya ibubapa menyedari bahawa tanggungjawab mendidik anak-anak bukan hanya terletak dibahu guru semata. Sebaliknya ibubapa perlu berganding bahu dan menjalinkan kerjasama yang erat dengan para guru bagi memastikan bencana sosial yang makin meruncing dan masalah disiplin yang melanda murid-murid hari ini dapat dibendung. Para guru juga perlu bersikap lebih terbuka dengan sentiasa menanamkan sikap proaktif di mana hubungan dua hala antara guru dan ibubapa perlu sentiasa dititikberatkan agar segala permasalahan yang timbul dapat diatasi bersama dan bukan saling lepas tangan. Wallahualam.