Semasa masih bergelar penuntut di universiti dulu, keretapi adalah perkhidmatan utama yang menjadi pilihan saya apabila setiap kali tiba musim cuti semester untuk balik ke kampung. Selain mendapat potongan harga untuk pelajar, keselesaan ruang untuk bergerak, perkhidmatan kantin dan surau yang disediakan dalam kabin serta faktor risiko rendah kemalangan membuatkan saya sentiasa memilih perkhidmatan ini setiap kali saya pulang ke kampung dari Kuala Lumpur. Walaupun masa perjalanan yang agak panjang sehingga menelan sehingga 12 ke 14 jam berbanding perkhidmatan bas yang hanya mengambil masa sekitar 8 hingga 9 jam sahaja untuk sampai, tetapi ianya tetap menjadi pilihan no.1 saya pada ketika itu.
Itu semua cerita 7 tahun yang lalu. Baru-baru ini, saya dijemput oleh kawan baik saya untuk datang ke rumah beliau sempena cuti sekolah akhir tahun. Memandangkan sudah lama saya tidak menaiki keretapi, jadi saya dengan terujanya memilih perkhidmatan keretapi. Dengan demikian saya membeli tiket Tren Express Sinaran Timur ke Kuala Lipis Kelas Superior kerana pada hemat saya ianya lebih selesa berbanding Kelas Ekonomi dan harganya pun berbeza. Pada saya tidak mengapa untuk membayar lebih sedikit asalkan selesa.
Sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke dalam tren hati saya mula berkata-kata. Apa tidaknya apabila melihat pintu masuk ke koc superior tersebut tertulis automatic door, tetapi tidak berfungsi. Tidak mengapa kalau sekiranya dapat ditutup secara manual. Tetapi malangnya apabila ada penumpang yang cuba menutup tetapi tidak berjaya kerana pintu tersebut tidak dapat ditarik. Apabila berada ditempat duduk saya mendapati seat saya tidak dapat dilaraskan sebagaimana sepatutnya. Bila saya memandang ke sebelah saya, seorang penumpang tersenyum dan menunjukkan kepada saya meja di depan tempat duduknya dan penumpang sebelahnya juga tercabut. Bila difikirkan rasa kelakar pun ada.
Masalah pintu koc dan meja ini mungkin dianggap isu enteng bagi sesetengah orang ataupun pihak KTMB sendiri. Tetapi pada saya ianya perlu dipandang serius kerana di samping melibatkan imej perkhidmatan yang disediakan oleh pihak KTMB dimata pengguna terutamanya pelancong-pelancong asing, ia juga melibatkan isu keselesaan pengguna perkhidmatan tren tersebut. Saya menulis berdasarkan pengalaman sendiri di mana saya rasa seperti itulah kali terakhir saya akan menggunakan perkhidmatan tren tersebut kerana sepanjang perjalanan pergi dan balik saya dari Kuala Lipis sangat-sangat tidak selesa membuatkan saya berfikir panjang bagaimana dengan penumpang-penumpang destinasi terakhir. Mereka akan lebih terseksa kerana jarak perjalanan mereka lebih jauh berbanding saya. Pintu koc yang tidak dapat ditutup menyebabkan aircond di dalam koc tersebut seolah-olah tidak berfungsi. . Ditambah lagi dengan asap rokok yang masuk ke dalam koc amatlah menganggu keselesaan penumpang-penumpang di dalam koc tersebut terutamanya bagi penumpang-penumpang dengan bayi dan kanak-kanak.
Hakikatnya saya bukanlah orang yang melulu dan saya cuba bersangka baik. Pada saya mungkin kebetulan saja kerosakan berlaku sewaktu saya menggunakan tren tersebut membuatkan saya masih ingin memilih balik semula ke kampung saya nanti dengan menggunakan perkhidmatan tren Expres juga. Besar harapan saya apabila perjalanan balik nanti masalah seperti ini tidak akan berlaku lagi. Malang sekali, semasa perjalanan balik, masalah sama juga berlaku membuatkan saya terfikir bagaimana pihak pengurusan atau kakitangan KTMB menjalankan tugas mereka??? Dimana jaminan kualiti yang mereka tawarkan kepada pengguna-pengguna perkhidmatan mereka???
Sepanjang perjalanan pergi dan balik ada suara-suara kesal kedengaran di mana harga tiket yang dibayar tidak berbaloi dengan perkhidmatan yang ditawarkan. Saya sendiri turut berasa kesal dengan pengurusan KTMB melibatkan isu ini. Sepatutnya setiap koc diselenggara dengan baik dan keselesaan pengguna dititikberatkan untuk menjamin perkhidmatan mereka yang berkualiti dan pengguna berpuas hati. Biarlah tambang yang dikenakan setimpal dengan perkhidmatan yang dihulukan jangan hanya mengaut keuntungan tetapi keselesaan pengguna diabaikan. Renung-renungkan.